Wednesday, March 16, 2011

Teknik Mengawal Tikus - Siri 2

  Mohd Shubhi       Wednesday, March 16, 2011
Uruskan sampah anda dengan baik.
Dalam bab yang lalu kita telah menerangkan langkah-langkah yang perlu dalam usaha mengawal tikus. Ia adalah:

  1. Pemeriksaan kehadiran tikus
  2. Kebersihan
  3. Menghalang tikus masuk
  4. Menghapuskan tikus melalui
    1. Perangkap
    2. Racun tikus
Kita telah menerangkan langkah awal bagaimana mahu menjalankan pemeriksaan terhadap kehadiran tikus pada rumah kita. Kali ini kita akan melihat bagaimana dengan menjaga kebersihan, kita sebenarnya telah melaksanakan satu usaha membenteras kehadiran tikus dalam tempoh jangka panjang.

Jika di sesuatu kawasan itu terdapat banyak tikus, ia sebenarnya membawa maksud bahawa tempat tersebut dipenuhi dengan punca makanan yang mewah bagi keperluan tikus. Tikus juga seperti haiwan lain memerlukan tempat perlindungan dan juga makanan untuk meneruskan hidup.

Dengan memastikan bahawa tiada makanan atau sekurang-kurangnya menghadkan kewujudan makanan seminimum mungkin bagi keperluan tikus melalui tabiat menjaga kebersihan, kita berupaya memberikan kesan yang amat besar dalam usaha membenteras serangan tikus.

Kita hendaklah sentiasa mengemas dan membersihkan rumah atau pejabat kita, ini merupakan satu kriteria yang wajib bagi mengawal tikus. Kita sesekali tidak akan berjaya menghapuskan tikus dengan hanya menggunakan racun atau perangkap atas 2 faktor di bawah:
  1. Penggunaan racun atau perangkap mungkin berjaya mengurangkan kewujudan tikus untuk seketika. Tetapi dengan kewujudan makanan yang cukup, pembiakan tikus akan dengan cepat menambahkan semula jumlah seranggan tikus pada rumah kita.
  2. Secara logiknya, jika kehadiran makanan yang mewah serata tempat, racun atau umpan yang kita letakkan pada perangkap tidak akan menarik perhatian tikus. Ini akan menggagalkan proses meracun atau managkap tikus yang kita jalankan.
Kerja-kerja pembersihan perlu merangkumi keseluruhan kawasan bangunan yang kita duduki. Ini termasuklah di dalam dan juga di luar sekeliling bangunan.

Pengurusan sampah yang kebiasannya mengandungi makanan terbuang amat penting untuk diperhatikan. Pastikan kita menyediakan tong sampat yang tahan dimasuki oleh tikus samada tong sampah tersebut berada di luar atau di dalam bangunan.

Ia hendaklah sentiasa tertutup dan tidak dibiarkan bertaburan sebelum dikutip oleh pekerja buang sampah. Dengan ini kita tidak akan menarik minat tikus untuk mendatangi premis rumah kita yang sukar untuk ditemui makanan.

Elakkan menghias rumah dengan tanaman pokok yang rapat dengan dinding. Begitu juga jauhkan peralatan yang kita simpan seperti batu-bata, mesin lama, alat pertukangan, kayu kayan dan lain-lain daripada dinding rumah kita kerana ini dapat dijadikan sebagai tempat perlindungan tikus.

Pastikan kawasan terpencil seperti bawah tangga, stor kecil di dapur dan seumpamanya sentiasa dikemas dan di awasi. Keadaannya yang gelap dan bertaburan merupakan tempat perlindungan yang baik untuk tikus. Susun denganrapi dan kemas agar mudah dipantau kehadiran tikus.

Akhir sekali, jika kita ada memelihara binatang seperti kucing, ayam dan lain-lain, kita hendaklah menguruskan tempat memberi makanan binatang peliharaan tersebut dengan baik. jangan biarkan ia bertaburan dan melimpah merata tempat. Semua lebihan makanan perlu dibersihkan segera setiap waktu.

Demikianlah betapa pentingnya kita sentiasa melakukan kerja mengemas dan pembersihan di sekeliling rumah kita untuk mengawal serangan tikus. Dengan amalan kebersihan di atas, kita sebenarnya telah berjaya mengawal sebahagian besar daripada punca serangan tikus. Selamat mencuba.


logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Teknik Mengawal Tikus - Siri 2

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment